saifulbahri.com website
Tazkirah
Berhikmah Dalam Seruan Dakwah

Berhikmah Dalam Seruan Dakwah

Dipetik dari buku Sirah Nabawiah Insan Teladan Sepanjang Zaman Jilid 1 - Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz b Nik Mat

 

Para du'at dikehendaki melaksanakan dakwah islamiyyah secara lurus dan tidak berbelit-belit ke kiri atau ke kanan. Kebenaran dan kesyumulan Islam terlalu nyata, setiap insan yang sempurna akalnya pasti mampu memahami ajaran Islam, sama ada ilmu yang mengenai ibadat, muamalat, jenayah, siasah, perundangan dan berbagai-bagai lagi. Islam amat serasi dengan kemampuan insan sebagai makhluk Allah, oleh itu jika ada manusia yang mendakwa Islam tidak boleh difahami, itu sekadar helah manusia yang bertuhankan nafsu dan keras kepala.

    Tidak sukar untuk memahami Islam asal saja manusia itu sedar bahawa mereka adalah makhluk yang dicipta oleh Allah SWT, sebagai makhluk, manusia mesti mengenang budi Tuhan yang menciptanya dan menganugerahkan kehidupan yang damai di muka bumi. Sebab itu manusia ditegah dari menjadi hamba budi sesama manusia, orang yang telah termakan budi akan terlekat hati kepada orang yang berbudi.

    Jika termakan budi sesama manusia boleh mneyebabkan mereka menjadi hamba kepada sesama manusia, inikan pula manusia yang setiap saat menerima budi Tuhan. Jika sesama manusia mereka berusaha untuk membalas budi, sudah sewajarnya manusia berusaha untuk berbakti kepada-Nya sebagai suatu cara untuk mengenang dan membalas budi Tuhan.

    Jika demikian, apakah perlunya manusia berbelit-belit dalam usaha mereka menyampaikan seruan Allah SWT, sedangkan agama Islam itu cukup terang dan lurus, maka kaedah menyampaikannya juga mesti juga secara terang dan lurus juga. Jika menyampaikan agama secara berbelit-belit maka ia hanya akan mempersulit agama Allah yang sememangnya mudah difahami.

    Suatu iktibar dari peristiwa sekembalinya Rasulullah SAW dari diisrak dan dimikrajkan oleh Allah SWT ke langit, pelbagai peristiwa yang menakjubkan telah diceritakan kepada sepupu Nabi SAW, bernama Ummi Hani yang telah beriman. Setelah Nabi menceritakan seluruh peristiwa Israk Mikraj hingga suatu tempat yang paling tinggi di Sidaratul Muntaha, Ummi Hani terpegun dengan cerita Nabi itu.

    Ketika Nabi beredar untuk memberitahu orang ramai mengenai peristiwa agung itu, Ummi Hani merasa sungguh pilu. Jika sebelum peristiwa Israk Mikraj itu sudah ramai yang memusuhi Nabi maka selepas peristiwa luar biasa itu pasti akan bertambah ramai yang menentang Nabi.

    Tetapi Nabi SAW bertekad untuk menyampaikan perkhabaran tersebut dengan berterus terang tanpa berselindung, Nabi SAW tidak akan mengelak dari menyampaikan khabar peristiwa Israk Mikraj yang dilaluinya, baginda berazam untuk terus menyampaikannya walaupun dengan hanya sepatah asalkan boleh menceritakan pengalaman sebenar yang dialami.

    Nabi tetap menyampaikannya sebagai melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira sama ada orang ramai akan menerima peristiwa yang luar biasa itu ataupun sebaliknya. Jika menerimanya bererti mereka menerima perkara yang sebenar dari Allah SWT. Jika mereka menolak, ia tidak menjadi kewajipan kepada Nabi untuk memaksa manusia menerimanya. Jika mereka tidak faham, Nabi boleh beri penjelasan dengan terperinci tentang peristiwa Israk Mikraj. Sekiranya mereka menolaknya mereka akan merasai akibatnya. Yang penting kewajiban telah dilaksanakn dengan cara yang betul dan terus terang tanpa berbelit-belit.

    Dasar hikmah yang Allah SWT selitkan dalam uslub dakwah adalah bertujuan untuk menolong memudahkan manusia memahami Islam. Orang yang berhikmah ialah mereka yang mampu mencari pendekatan untuk menyampaikan Islam dalam semua keadaan tanpa mengorbankan prinsip. Bertolak ansur boleh jadi sebahagian dari hikmah sekiranya ia menepati kehendak syariah, namun tidak dianggap berhikmah dengan bertolak ansur dalam semua keadaan. Menafikan tolak ansur juga boleh dianggap berhikmah sekiranya ia perlu.

    Ada kalanya berlembut dianggap sebagai berhikmah, bagaimanapun dalam keadaan tertentu kaedah yang lain mungkin perlu dicari bagi menggantikan sikap berlembut itu yang suatu ketika mungkin sudah tidak sesuai. Hikmah bukanlah suatu helah untuk mengelak dari melaksanakan tanggungjawab.